Dalam mengejar kemewahan dan kesenangan hidup, kebanyakan manusia seringkali terlupa dan berkemungkinan tidak menyedari akan erti sebenar kehidupan ini. Mereka terlalu alpa dan leka menyelusuri arus kemodenan dan sebahagiannya mengagungkan budaya hedonisme yang sebenarnya melangkaui norma-norma sebenar sebuah peghidupan.
Sejauh manakah kita semua menyedari akan hakikat ini? Kebanyakan dari kita telah menjauh daripada fitrah kejadian manusia yang seharusnya mempunyai keterikatan yang teguh dengan ajaran Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sebagaimana firman Allah:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (AQ 30:30)
Dalam wasiatnya yang terakhir, Rasulullah telah berpesan:
“Kutinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka) tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada kedua-duanya”
Jika sekiranya manusia itu berteraskan kepada fitrah penghidupan, pasti manusia tidak akan tergelincir daripada landasan yang telah dipermudahkan Allah. Tetapi kebanyakannya tidak mengambilnya sebagai pegangan dan pedoman
Melihat kepada senario hari ini dari segala aspek penghidupan; politik, ekonomi, dan sosial sama ada dari skop yang kecil di negara kita sendiri dan secara global; terlalu banyak kepincangan yang berlaku dan bagi mereka yang berfikir, sudah pasti akan tertanya-tanya, di manakah silapnya dan siapakah yang seharusnya dipersalahkan.
Usahlah menuding jari kepada orang lain tetapi sedarlah dari lamunan mimpi ini. BACALAH! Bacalah persekitaran ini dengan pandangan mata hati yang berteraskan ideologi Allah yang merupakan kaedah yang hak. Bukan sekadar ideologi sendiri yang ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing yang pada hakikatnya akan lebih membawa kepada ketegangan dan berpecah-belah.
Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing). (AQ 23:53)
Berapa ramaikah yang menyedari akan hakikat ini?Fikirkanlah..
Yang pasti, Islam akan bangkit dan kemenangan akan berpihak pada umat Islam.
“Allah telah menetapkan: Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang”(AQ 58:21)
Ini merupakan janji Allah. Namun tidakkah kita semua terfikir, siapakah yang akan memartabatkannya? Siapa lagi jikalau bukan kita dan anak cucu kita semua yang merupakan pewaris Nabi Muhammad (saw) untuk memikul syariatnya.Mengapa kita semua?? Ini kerana, tidak ada lagi nabi yang diturunkan untuk menggalas amanat Allah ini melainkan kita semua. Maka, BANGKITLAH! bangkitlah dari belengu keselesaan dan kecukupan kerana mereka yang berasa cukup dianggap telah melampaui batas ( 96:6-7)..
Sekadar renungan bersama..
Idealia Samsudin..
No comments:
Post a Comment